PELAKON dan penyanyi, Aliff Aziz, 33, tampil ‘membuka mulut’ berhubung isu ditangkap berkhalwat di sebuah kondominium mewah di ibu negara pada awal pagi Sabtu.
Melalui perkongsian di Instagram, Aliff memohon maaf atas perkara tersebut dan menyatakan akan tampil menjelaskan kejadian sebenar dengan lebih terperinci dalam masa terdekat selepas merasakan terdapat beberapa fakta kurang tepat daripada kejadian sebenar.
“In light of the situation that happened yesterday, there are many speculations and exagerrated reports on what actually happened.
“Tetapi saya juga faham tanggapan semua kerana keadaan tersebut telah menimbulkan syak wasangka yang boleh menimbulkan fitnah,” terangnya.
Dalam perkongsian itu Aliff berkata, dia sedar insiden tersebut sepatutnya boleh dielakkan namun dia akan berikan penjelasan bagi mengelakkan kekeliruan berhubung hal yang terjadi.
“Seharusnya keadaan yang dapat dielak akan tetapi saya akan memberikan keterangan tentang apa yang berlaku sebenarnya nanti bagi mengelakkan lebih salah faham tentang apa yang terjadi.
“Bukan ingin menegakkan benang yang basah, sekadar berkongsi kepada yang ingin mendengar insyaAllah.
“Selebihnya saya memohon maaf atas apa yang terjadi dan semoga keterangan yang akan saya sampaikan nanti sedikit sebanyak dapat menerangkan tanggapan semua. InsyaAllah.
Terdahulu, Aliff dan pelakon, Ruhainies ditahan pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan dibebaskan dengan jaminan sekitar pukul 2 petang Sabtu.
Malah, mereka dilaporkan akan didakwa di Mahkamah Syariah atas dakwaan khalwat pada tarikh yang akan ditetapkan.
Bagaimanapun, umum sedia maklum ini bukanlah pertama kali Aliff berhadapan isu kontroversi atas dakwaan berlaku curang terhadap Bella.
Malah pasangan itu pernah bercerai pada 2019 akibat sudah tidak tahan dengan sikap pelakon itu.
Namun, pasangan tersebut mengambil keputusan kembali rujuk ketika dalam tempoh edah.