HomeBerita‘Awek Melaka’ buat lagak Superman kena cekup

‘Awek Melaka’ buat lagak Superman kena cekup

MELAKA: Tindakan tiga remaja perempuan yang melakukan aksi lagak ngeri ketika menunggang motosikal di sekitar Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) membawa padah, apabila akhirnya ditahan pihak polis pada Rabu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri menerusi kenyataan pada Khamis berkata, tangkapan ke atas remaja berusia 16 hingga 18 tahun itu dibuat selepas aksi mereka dikesan tular di laman X.

Menerusi video itu, beliau berkata, remaja berkenaan didapati melakukan aksi meniarap di atas motosikal sambil meluruskan kedua-kedua belah kaki ke belakang (Superman).

Beliau berkata, penahanan remaja dari kumpulan dikenali ‘Awek Melaka’ itu dibuat oleh sepasukan Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman di sekitar Melaka Tengah.

Katanya, tangkapan dibuat dengan kerjasama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menerusi operasi bermula pada jam 11 malam.

Polis turut menyita tiga motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang digunakan ketika melakukan aksi berbahaya itu dan menghantar kenderaan tersebut ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Rembau, Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.

“Hasil soal siasat mendapati, kesemua yang ditangkap menetap di sekitar Melaka.

“Sebelum kejadian, mereka dalam perjalanan pulang secara konvoi dari sebuah kedai makan yang terletak di Serdang, Selangor.

“Mereka hanya menjadikan Lebuhraya PLUS sebagai tempat untuk melakukan aksi berbahaya tersebut kerana terpengaruh antara satu sama lain.

“Pihak polis turut mengeluarkan sebanyak tujuh saman atas pelbagai kesalahan,” katanya sambil menambah bahawa kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya, JSPT akan sentiasa melaksanakan operasi mencegah samaeng jalanan secara berterusan, bagi membanteras kegiatan menunggang motosikal yang membahayakan keselamatan orang ramai.

“JSPT juga komited untuk menjalankan program advokasi bagi melahirkan generasi penunggang motosikal yang sentiasa patuh kepada peraturan dan undang-undang lalu lintas,” katanya.

Author

Pilihan Editor