HomeBeritaBas Rapid KL bawa 7 penumpang terbakar

Bas Rapid KL bawa 7 penumpang terbakar

KUALA LUMPUR: Sebuah bas Rapid KL yang membawa tujuh penumpang mengalami kebakaran, dalam kejadian berhampiran Jalan Syed Putra menghala ke Jalan Klang Lama, di sini pada Selasa pagi.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 8.06 pagi.

Susulan itu, sepasukan 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah dan Seputeh bersama jentera sudah pun dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Komander Operasi, Mohd Suhaimi Mohd Razali memaklumkan bahawa, sebuah bas telah terbakar di bahu jalan ketika bomba tiba di lokasi.

“Tindakan pemadaman menggunakan salur bantu mula dari jentera untuk memadam kebakaran tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Jelasnya, pemandu bas sudah dimaklumkan oleh penunggang motosikal bahawa terdapat kebakaran di belakang bas.

“Pemandu bas telah bertindak memberhentikan kenderaan di bahu jalan lalu mematikan enjin dan suis, serta mengarahkan semua penumpang turun ke lokasi yang selamat,” ujarnya.

Katanya, bas mengalami kebakaran sebanyak 90 peratus manakala punca kejadian masih dalam siasatan.

Author

Pilihan Editor