HomeBeritaHelikopter maritim terhempas, empat penumpang dilaporkan selamat

Helikopter maritim terhempas, empat penumpang dilaporkan selamat

KLANG: Empat penumpang termasuk juruterbang dilaporkan selamat dalam nahas helikopter terhempas sekitar jam 10 pagi Selasa.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Datuk Hamid Mohd Amin berkata, pesawat helikopter AW 139 itu telah melakukan pendaratan cemas di Perairan Pulau Angsa, Selangor ketika melakukan latihan menyelamat sekitar 9.55 pagi.

Pihaknya menerima aduan kejadian menerusi panggilan MERS 999 oleh pemancing yang berada di sekitar lokasi kejadian.

“Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) telah diaktifkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya pada jam 10.15 pagi tadi.
“Pesawat yang mendarat cemas diterbangkan oleh Leftenan Komander Maritim Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria, Leftenan Komander Maritim Mohamad Azrol Saidi bersama seorang kru udara Pegawai Waran I Maritim John Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara Muda Maritim Muhamad Nurhayyat Hashim.
“Aset Maritim Malaysia yang diatur gerak ke lokasi kejadian ialah Bot Pengawal 25 dari Maritim Negeri Selangor, bot RH 16 dan PSC 39 daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang dan sebuah pesawat AS 365N3 Dauphine Maritim Malaysia dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS),” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Susulan itu, semua kru AW139 telah diselamatkan oleh pesawat AS 365N3 dan  diterbangkan ke SUMS.
Hamid berkata, siasatan lanjut bakal menyusul untuk mengenal pasti punca kejadian.

Author

Pilihan Editor