KUALA NERUS: Seekor beruang matahari berjaya diselamatkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu apabila dikesan berkeliaran di kawasan perumahan sekitar Kampung Tok Jembal di sini pada Selasa.
Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, beruang betina berusia lingkungan lima tahun seberat 65 kilogram (kg) itu telah memasuki perangkap yang dipasang di Kampung Telaga Batin di sini sekitar jam 7.15 pagi pada Khamis.
Menurutnya, ia adalah haiwan sama dirakam penduduk kampung yang tersangkut ketika cuba memanjat pagar sebuah rumah pada Selasa lalu.
“Kita menerima aduan pertama pada Selasa lalu dan segera melakukan kawalan ke atas beruang tersebut selama dua hari iaitu pada Selasa dan Rabu.
“Pemasangan perangkap telah dibuat di Kampung Telaga Batin pada Rabu dan beruang berkenaan telah berjaya memasuki perangkap semalam (Khamis),” katanya lapor Sinar Harian.
Bagaimanapun, difahamkan haiwan tersebut akan dilepaskan ke kawasan habitat semula jadi yang sesuai untuk kemandirian spesies berkenaan.
Terdahulu, tular di media sosial video rakaman seorang penduduk memaparkan gelagat seekor beruang matahari yang cuba memanjat pagar di sebuah kawasan rumah.