CYBERJAYA: Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) menawarkan peluang kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026, selepas Victoria, Australia menarik diri sebagai penganjur.
Tawaran itu turut melibatkan suntikan dana sebanyak 100 juta pound (RM602 juta) bagi menjayakan temasya berkenaan.
Susulan daripada pelawaan rasmi CGF kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia bulan lalu, MOM sudah memulakan perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mempertimbangkan tawaran berkenaan.
Presiden CGA Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, kerajaan harus mempertimbangkan tawaran ‘sekali seumur hidup ini’ yang akan membina kejayaan Kuala Lumpur 1998 dan meletakkan Malaysia kembali ke peta sukan dunia.
“Dengan kemudahan bertaraf dunia sedia ada, Malaysia serba lengkap untuk menganjurkan acara antarabangsa bermagnitud Komanwel yang melibatkan 74 negara dan wilayah.
“Penganjuran itu akan melibatkan perbelanjaan kerajaan yang minimum dan membawa faedah sosio-ekonomi yang ketara kepada negara.
“Ia juga akan meningkatkan taraf sukan Malaysia seperti yang berlaku pada temasya 1998. Untuk tujuan itu, CGF dan CGA Malaysia telah menawarkan cadangan yang menarik kepada kerajaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah pada Sukan Komanwel adalah pada tahun 1998.
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dilapor berkata, pihaknya sedang menyediakan kertas Kabinet, meliputi hasil kajian mengenai pelbagai aspek penganjuran sukan itu untuk diserahkan kepada Jemaah Menteri bagi membuat sebarang keputusan.
Sebelum ini, Victoria dilaporkan menarik diri sebagai tuan rumah bagi edisi ke-23 itu atas alasan peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (lebih kurang RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (lebih kurang RM21.78 bilion).
Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju untuk membayar AUD380 juta (RM1.18 bilion) kerana melanggar kontrak, apabila tidak dapat menganjurkan temasya itu mengikut jadual bermula 17 Mac hingga 29 Mac 2026.