HomeBeritaDua anggota polis disyaki berkhalwat, ditukar jabatan serta-merta

Dua anggota polis disyaki berkhalwat, ditukar jabatan serta-merta

GEORGETOWN: Dua anggota Polis Pulau Pinang yang ditahan dalam operasi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), kerana disyaki berkhalwat semalam, ditukarkan jabatan serta-merta.

Selain itu, kedua-dua anggota yang masing-masing berpangkat sarjan mejar dan koperal itu turut dikenakan tindakan tatatertib oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, ketika ditahan, dua anggota terbabit bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, lapor Berita Harian.

“Arahan bertukar jabatan sudah dikeluarkan serta-merta dan tindakan tatatertib diambil oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan dua penjawat awam berusia 37 tahun itu ditahan JHEAIPP dalam serbuan jam 1.30 pagi, di sebuah hotel di Tanjung Tokong, di sini.

Serbuan dilakukan selepas suami kepada wanita terbabit membuat aduan kepada JHEAIPP yang mengesyaki pasangan itu bersekedudukan.

Author

Pilihan Editor