SETIU: Seekor gajah cedera selepas dirempuh oleh sebuah kereta yang dipandu oleh seorang pengurus syarikat di Kilometer 45, Kampung Kolam, Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja, di sini, malam tadi.
Bagaimanapun pemandu kereta Porsche Cayenne yang berusia 42 tahun yang dalam perjalanan dari Rhu 10 menghala ke Lembah Bidong terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Affandi Hussin berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu Porsche itu mendapati seekor gajah berada di atas jalan di laluan pemanduan menyebabkannya tidak sempat mengelak lalu melanggar haiwan berkenaan.
“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan manakala gajah yang dilanggar cedera di bahagian kaki dan tumbang di tempat kejadian.
“Bagaimanapun, beberapa minit selepas kemalangan berlaku, gajah itu bangun dan melarikan diri ke dalam hutan yang berhampiran,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Affandi berkata, siasatan awal mendapati gajah itu dilihat berkeliaran di kawasan berkenaan kira-kira jam 6.30 petang semalam dan Pejabat Perhilitan Besut sudah dimaklumkan untuk tindakan lanjut.
Katanya, usaha mengesan haiwan itu yang dipercayai menuju ke Bukit Putera, Setiu dengan melalui jalan hutan masih diteruskan Pejabat Perhilitan Besut.