HomeBeritaPolis tahan 2 peniaga buat kecoh di Dataran Medan Alor Setar

Polis tahan 2 peniaga buat kecoh di Dataran Medan Alor Setar

ALOR SETAR: Dua lelaki yang dipercayai mencetuskan kekecohan dan menghalang anggota penguat kuasa ketika menjalankan tugas menerima padah, selepas ditahan pihak polis pada Jumaat petang.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, peniaga berusia 33 dan 42 tahun itu melakukan perkara tersebut ketika anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menjalankan tugas di kawasan Dataran Medan Bandar Alor Setar, di sini pada Khamis lalu.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.38 malam itu, pembantu penguat kuasa MBAS yang sedang bertugas membuat operasi sitaan peniaga di kawasan dataran berkenaan dihalang oleh dua individu yang mencetuskan kekecohan dan pergelutan sebelum dapat dileraikan.

“Kedua-dua individu itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menghalang penjawat awam iaitu anggota MBAS yang sedang menjalankan tugas,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, media sosial tular dengan video berdurasi 2 minit 23 saat memaparkan
beberapa individu mengeluarkan kata-kata kesat dan membuat provokasi terhadap beberapa anggota penguat kuasa MBAS.

Sementara itu, pihak MBAS memaklumkan ketika kejadian, anggota penguat kuasanya sedang mengambil tindakan terhadap beberapa peniaga yang menjalankan perniagaan di kawasan dataran berkenaan.

Menurut MBAS, kawasan itu merupakan kawasan larangan bagi mana-mana pihak menjalankan perniagaan dan papan tanda mengenai larangan itu telah diletakkan di situ.

“Kawasan Dataran Medan Bandar Alor Setar memang dilarang untuk sebarang perniagaan dan telah ada papan tanda yang memaklumkan mengenai perkara itu tetapi ada pihak yang masih berdegil,” katanya dalam kenyataan.

MBAS mengeluarkan notis larangan berniaga di kawasan itu pada Julai 2020 membabitkan sebarang aktiviti seperti penjualan makanan dan minuman, alat permainan, kenderaan mikromobiliti dan ‘car boot sale‘.

 

Author

Pilihan Editor