HomeHiburanHannah Delisha kongsi berita sedih, keguguran anak pertama

Hannah Delisha kongsi berita sedih, keguguran anak pertama

SETIAP pasangan yang berkahwin pasti mempunyai impian untuk menimang cahaya mata.

Sama seperti pelakon dan penyanyi, Hannah Delisha, 28, dan pasangannya Imam Shah, 32, yang mengimpikan cahaya mata sulung mereka namun tidak kesampaian apabila Hannah disahkan mengalami keguguran pada Ahad.

Berita duka itu disampaikan sendiri oleh Hannah atau nama sebenarnya Hannah Adlina Blackburne Birch menerusi akaun peribadinya di aplikasi X.

Menerusi perkongsian tersebut, Hannah turut menzahirkan kekuatan kepada wanita yang pernah menerima nasib yang sama.

“Saya mengalami keguguran untuk kandungan pertama ini.

“Saya ingin berkongsi rasa cinta dan kekuatan kepada seluruh wanita yang pernah mengalami keguguran,” katanya.

Hannah bagaimanapun tidak menyatakan usia kandungannya tersebut.

Dalam pada itu, pelakon drama Andai itu Takdirnya ini berharap perkongsiannya itu sedikit sebanyak dapat memberikan semangat buat wanita yang pernah mengalami keguguran.

Pada masa yang sama, Hannah turut menitipkan doa agar diberikan kesembuhan serta kekuatan dalam menempuhi dugaan yang diterima serta berharap dapat bertemu anaknya itu di syurga kelak.

“Kesedihan yang tidak tertanggung dialami oleh ramai wanita tetapi tidak dikongsi. Saya berharap dengan membaca perkongsian saya ini ia dapat memberi kekuatan kepada wanita yang pernah kehilangan bayi menyedari mereka tidak bersendirian.

“Semoga Allah memberi kesembuhan, meringankan kesakitan dan mengisi hati kita dengan ketenangan serta keselesaan.

“InsyaAllah jumpa di syurga nanti sayang,” katanya.

Sebagai rekod, Hannah mendirikan rumah tangga dengan Imam Shah pada tahun 2021 dalam sebuah majlis pernikahan yang diraikan secara sederhana.

Author

Pilihan Editor