CYBERJAYA: Hari ini merupakan hari terakhir bagi rakyat Malaysia mengemas kini data dan membuat pengesahan melalui pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU).
Dalam hantaran di akaun Facebook pada pagi Ahad, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, seramai 10.6 juta rakyat Malaysia telah mendaftar dengan PADU.
Menurutnya, sejak 2 Januari tahun ini, kerajaan telah membuka PADU selama tiga bulan untuk semua warga negara mengemas kini dan mengesahkan data sosioekonomi mereka.
“Maklumat perlu disahkan dan dikemaskinikan untuk memastikan data Kerajaan itu berlaku adil kepada rakyat kerana data dari PADU akan digunakan untuk menyasarkan subsidi kepada golongan yang layak kelak,” katanya dalam hantaran tersebut.
Selangor kekal negeri tertinggi merekodkan pendaftaran PADU dengan angka 1.45 juta orang disusuli Johor 1.02 juta dan Sarawak 0.89 juta.
Berdasarkan rekod dalam sistem PADU, bilangan warganegara adalah seramai 30.08 juta.
PADU dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu dan pendaftarannya dibuka sehingga 31 Mac 2024 bagi membolehkan orang ramai mengemas kini serta mengesahkan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat.
PADU berperanan untuk memastikan setiap warga negara yang layak menerima manfaat berbentuk bantuan atau perlindungan daripada pelbagai inisiatif kerajaan berfokuskan rakyat.
PADU mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap berumur 18 tahun ke atas di Malaysia.
Orang ramai boleh membuat pendaftaran di pautan www.padu.gov.my atau pergi ke kaunter PADU berhampiran kawasan anda.