KUALA LUMPUR: Keakraban selama 10 tahun bukanlah suatu tempoh yang singkat bagi sesebuah hubungan persahabatan.
Tempoh persahabatan itu menjadikan kedua-dua pelakon Ruhainies dan Aliff Aziz akrab dan saling mengenali keluarga masing-masing.
“Aliff merupakan rakan dan kenalan keluarga saya termasuk adik-beradik saya sejak 10 tahun yang lepas,” katanya dalam satu kenyataan.
Malah Ruhainies turut mengakui mempunyai hubungan yang baik bersama isteri kepada pelakon tersebut iaitu Bella Astilah.
Ruhainies menerusi kenyataan di Instagram, menegaskan tentang hubungan dirinya dan Aliff Aziz hanyalah sekadar kawan baik.
“Saya juga ingin menegaskan bahawa saya dan Aliff hanyalah kawan biasa dan bekerjasama dalam drama yang sedang kami bintangi,” tegasnya.
Berhubung isu khalwat pula, Ruhainies bersedia untuk berbincang bersama Bella dan berharap pasangan tersebut tidak berpisah.
“Saya sayangkan persahabatan saya dengan Bella dan saya berharap agar dia dan Aliff tidak akan berpisah. Saya juga bersedia untuk berbincang dengan Bella apabila dia sudah bersedia,” ujarnya.
Dalam pada itu, Risteena kakak kepada Ruhainies turut kemukakan bukti-bukti perbualan antara dirinya dan Ruhainies.
Menerusi perkongsian di Instagram, jelas melihatkan perancangan mereka adik-beradik untuk makan malam bersama.
Namun, disebabkan kelewatan Risteena ke lokasi kejadian pada 9 Mac lalu, Ruhainies dan Aliff ditahan Jabatan Agama Islam Persekutuan (JAWI) atas tuduhan berkhalwat.
Siasatan dijalankan terhadap kedua-dua pelakon itu dan dibebaskan dengan jaminan pada pukul 2 petang hari sama.
Susulan kejadian itu, Bella Astillah, 30, telah memfailkan cerai terhadap Aliff secara ekspres Isnin lalu.
Bagaimanapun kes itu ditangguhkan untuk sebutan semula pada 4 April depan selepas Aliff tidak hadir kerana terlibat dalam penggambaran drama.
Sebagai rekod, Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016.
Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna yang masing-masing berusia 7 dan 4 tahun.