KUALA LUMPUR: Pelakon Ruhainies akhirnya membuat kenyataan rasmi berhubung kes khalwat yang hangat diperkatakan baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Instagram, Ruhainies terlebih dahulu mohon maaf atas kelewatan dalam mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian.
Pada masa yang sama, dia turut mengakui kekhilafan dirinya tidak menjaga batas pergaulan sehingga menimbulkan fitnah antara dia dan penyanyi Aliff Aziz.
Menurut Ruhainies, kejadian malam tersebut bukanlah seperti yang disangkakan. Sebaliknya , malam tersebut sepatutnya adalah malam makan bersama keluarga dan adik-beradiknya.
Memandangkan pada hari tersebut, dia bersama Aliff baru sahaja habis menjalani penggambaran, jadi secara tidak langsung dia menjemput Aliff sertai makan malam itu.
“Pada hari itu, saya baru selesai menjalani penggambaran dan konvoi bersama PA saya menuju pulang ke rumah.
“Hari itu juga, adik-beradik saya memang merancang untuk tidur di rumah pada malam itu. Jadi, kami rancang untuk makan bersama adik-beradik saya dan beberapa rakan yang lain.
“Memandangkan Aliff juga baru selesai menjalani penggambaran, saya jemput dia untuk turut serta. Aliff juga bersetuju sebab dah lama tak berjumpa dengan mereka,” ujar Ruhainies.
Namun sebaliknya berlaku, kakaknya Risteena lewat tiba di rumah tersebut atas faktor kerja dan kesesakan jalan raya.
“Risteena maklumkan kepada saya, dia dalam perjalanan ke rumah saya, namun tersangkut dalam kesesakan lalu lintas.
“Jadi, saya buat keputusan untuk naik ke rumah dan letakkan barang keperluan shooting saya” katanya.
Terdahulu, pada 9 Mac lalu, Ruhainies dan Aliff ditahan Jabatan Agama Islam Persekutuan (JAWI) atas tuduhan berkhalwat.
Siasatan dijalankan terhadap kedua-dua pelakon itu dan dibebaskan dengan jaminan pada pukul 2 petang hari sama.
Susulan kejadian itu, Bella Astillah, 30, telah memfailkan cerai terhadap Aliff secara ekspres Isnin lalu.
Bagaimanapun kes itu ditangguhkan untuk sebutan semula pada 4 April depan selepas Aliff tidak hadir kerana terlibat dalam penggambaran drama.
Sebagai rekod Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016.
Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna yang masing-masing berusia 7 dan 4 tahun.