HomeBeritaKanak-kanak 7 tahun maut nahas empat sekeluarga di Bagan Datuk

Kanak-kanak 7 tahun maut nahas empat sekeluarga di Bagan Datuk

BAGAN DATUK: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut, setelah lori yang dinaiki merempuh belakang sebuah treler di Kilometer (KM) 159.6 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), di sini pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, nahas itu berlaku di Lebuhraya WCE, arah Sabak Bernam ke Hutan Melintang pada jam 6.20 pagi.

Ahmad Adnan berkata, kemalangan tersebut melibatkan empat sekeluarga yang menaiki lori tersebut, iaitu sepasang suami isteri dan dua anak mereka.

“Siasatan awal mendapati, sebuah lori jenis Isuzu telah melanggar treler dari belakang.

“Penumpang lori iaitu seorang kanak-kanak lelaki warga tempatan berusia tujuh tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit.

“Mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat, manakala pemandu lori iaitu seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun cedera ringan di kaki juga dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut dan telah discaj,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Adnan berkata, dua lagi mangsa dari lori berkenaan iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia sekitar setahun serta isteri pemandu mengalami kecederaan di kaki kiri dan kepala.

Tambahnya, polis turut menahan kenderaan terbabit untuk dihantar ke pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Author

Pilihan Editor