HomeGlobalKembar siam Abby Hensel dedah sudah berkahwin sejak 2021

Kembar siam Abby Hensel dedah sudah berkahwin sejak 2021

 

PASANGAN kembar siam, Abby dan Brittany Hensel, yang mendokumentasikan kehidupan mereka dalam siri realiti TLC, kini tidak lagi berdua, malah sudah bertiga.

Abby, kembar siam sebelah kiri, mendedahkan bahawa dia telah berkahwin dengan Josh Bowling, seorang jururawat dan veteran Tentera Amerika Syarikat, pada 2021. Mereka tinggal di Minnesota, tempat kembar Hensel dilahirkan dan dibesarkan.

Abby dan Brittany, 34, telah menjalani kehidupan peribadi sejak rancangan 8 episod mereka Abby & Brittany disiarkan pada tahun 2012.

Menurut rancangan Today, yang memperoleh rekod perkahwinan pasangan itu, kedua-duanya adalah guru darjah lima di negeri asal mereka.

Abby dan Josh merahsiakan perkahwinan mereka daripada pengetahuan umum sehingga 2023, apabila mereka berkongsi foto majlis perkahwinan di TikTok mereka, @abbyandbrittanyhensel.

Tetamu majlis perkahwinan mereka memuat naik semula klip video yang memaparkan detik intim perkahwinan pasangan itu di Facebook.

Klip berdurasi 20 saat yang disiarkan di Facebook Heidi Bowling merakamkan pasangan itu menari dan bercium di majlis resepsi perkahwinan. Abby dan kakaknya memakai gaun pengantin serba putih tanpa lengan dan gaun bertali belakang, manakala Josh memakai sut kelabu.

Duo ini pada asalnya muncul di The Oprah Winfrey Show pada tahun 1996, berkongsi mengenai kehidupan mereka sebagai kembar siam.

Mereka dilahirkan sebagai kembar siam dicephalus, keadaan yang jarang berlaku apabila dua kepala berada pada satu badan dengan satu sistem kemaluan; dua, tiga atau empat tangan, dua hati dan dua kaki.

Kembar Helsen berkongsi aliran darah dan semua organ di bawah pinggang. Abby mengawal lengan dan kaki kanan mereka dan Brittany mengawal bahagian kiri.

Apabila Abby dan Brittany dilahirkan pada tahun 1990, ibu bapa mereka, Patty dan Mike Hensel, memilih untuk tidak melakukan pembedahan pemisahan kerana doktor berkata kemungkinan untuk kembar itu selamat menjalani pembedahan amatlah kecil, lapor Today.

Walaupun mereka bergelut dengan komplikasi kehidupan sebagai kembar siam, mereka tidak membiarkannya menghambat mereka daripada mencapai impian hidup seperti lulus ujian lesen memandu pada usia 16 tahun, menamatkan pengajian di kolej, melancong ke Eropah dan menjadi pendidik.

Dalam dokumentari 2003 Joined for Life, Abby dan Brittany bercakap mengenai kemungkinan membesarkan anak-anak suatu hari nanti.

“Ya, kami akan menjadi ibu,” kata Brittany. “Kami belum memikirkan bagaimana hendak menjadi ibu. Kami baru 16 tahun – kami tidak perlu memikirkannya sekarang.”

Dan pasangan itu tidak perlu tergesa-gesa menambah anak ke dalam hidup mereka kerana suami Abby mempunyai anak daripada perkahwinan terdahulu, menurut Daily Mail.

 

Author

Pilihan Editor