KUALA LUMPUR: Umat Islam di seluruh dunia sudah pasti tidak sabar untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan, yang dijangka jatuh pada minggu depan.
Menurut Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi mengisytiharkan tarikh permulaan puasa di Malaysia adalah pada 10 Mac ini bersamaan 29 Syaaban 1445H.
Umum mengetahui bahawa umat Islam disunatkan untuk bersahur, iaitu makan pada awal pagi sebelum berkumandangnya azan Subuh dan sebelum memulakan aktiviti berpuasa.
Namun, tidak dinafikan bahawa terdapat segelintir individu yang dilihat sukar untuk bangun pada awal pagi, selain kekurangan idea untuk menyediakan menu sahur.
Kerisauan itu mungkin dapat diatasi menerusi Kempen Bersahur Bersama Seri-Aji 2024 anjuran Ajinomoto Malaysia Berhad (AMB) yang berlangsung mulai 14 Februari hingga 9 April ini.
Dengan slogan ‘Konfem Senang, Konfem Sedap’, kempen tersebut diadakan bertujuan merevolusikan penyediaan sahur menjadi pengalaman berharga, cepat dan melazatkan sepanjang Ramadan.
Menurut AMB, kempen itu juga diadakan bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan bersahur pada bulan mulia berkenaan serta mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat.
“Objektif utamanya termasuk menggalakkan pemakanan seimbang, mempromosikan konsep sahur yang ringkas dan menekankan keseronokan bersahur bersama keluarga,” menurut AMB dalam kenyataan.
Dalam kenyataan sama, AMB memaklumkan bahawa, pihaknya akan mengedarkan pek produk, yang dapat memberi manfaat kepada 25,000 isi rumah di 20 lokasi Projek Perumahan Rakyat (PPR) berbeza di sekitar Lembah Klang, Selangor.
Malah, kempen itu turut menampilkan beberapa aktiviti menarik yang akan dianjurkan di PPR Seri Alam Fasa 2 dan Dewan PPR Lembah Subang 2.
Ini termasuk demonstrasi masakan secara langsung, pengedaran makanan, permainan, aktiviti seni pasir dan cabutan bertuah.
“Kami berharap dengan langkah ini dapat meningkatkan kesejahteraan penduduk dan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan sahur dengan pilihan hidangan yang seimbang dan ringkas,” katanya.
Orang ramai boleh layari laman smartcooking.com.my untuk maklumat lanjut berkaitan kempen tersebut.