HomeBeritaKerjasama Kesuma-UM kaji penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig

Kerjasama Kesuma-UM kaji penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) sedang bekerjasama dengan Universiti Malaya (UM) dalam membuat kajian berhubung penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim memaklumkan, langkah itu dibuat bagi menyambut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan penubuhan suruhanjaya tersebut baru-baru ini.

“Ketika ini, kami sedang melaksanakan kajian yang mengambil kira terma rujukan, fungsi, kewangan dan keahlian suruhanjaya itu bersama UM.

“Laporan kajian akan dibentang kepada Kabinet dalam tempoh tiga bulan akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, selepas menghadiri Majlis Pelancaran Inisiatif Caruman Percuma Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini, pada Rabu.

Awal bulan ini, Anwar dilapor berkata, Suruhanjaya Pekerja Gig akan ditubuhkan bagi melindungi hak pekerja gig yang kini sudah mencecah 1.12 juta rakyat, terutama dalam kalangan anak muda.

Beliau berkata, keutamaan suruhanjaya itu adalah memberikan keperluan sosial, pertikaian kontrak dan kemajuan kerjaya.

Jelasnya, langkah itu diambil berikutan kebanyakan belia Bumiputera terlibat dalam pekerjaan gig namun sebagai pekerja tidak formal, mereka tidak memiliki perlindungan perundangan pekerjaan serta sistem perlindungan sosial.

 

Author

Pilihan Editor