MENJELANG Ramadan baru-baru ini, tular mengenai resipi kurma butter yang dikatakan mampu memberi kesan kenyang berpanjangan semasa puasa.
Namun tahukah anda, pengambilan secara berlebihan atau tidak terkawal akan memberi kesan buruk terhadap kesihatan?
Menurut Public Health Malaysia (PHM), menu tersebut dikatakan memudaratkan kerana mentega mempunyai lemak tepu dan kalori yang tinggi.
“Satu biji kurma campur mentega bersamaan dengan satu senduk nasi. Nak makan tiada masalah, untuk pengambilan kerap dan banyak tidak baik untuk kesihatan,” kata PHM di Facebook, pada Selasa.
Oleh itu, katanya, pengambilan secara berlebihan akan meningkatkan risiko penyakit jantung dan paras kolesterol jahat.
“Bukan itu sahaja, ia juga dapat menyebabkan kegemukan apabila paras kalori semakin tinggi dalam badan,” tambahnya.
Dalam pada itu, pakar dietetik, Nur Aiman Taslim berkata, kurma yang dicampur mentega boleh dimakan ketika bersahur, namun tidak digalakkan diambil secara berlebihan.
Menurutnya, memadai untuk makan tiga hingga empat biji kurma dengan satu sudu teh kecil (mentega) sahaja bagi setiap biji kurma yang dimakan.
“Ia akan bekalkan sebanyak 224 kalori dengan pecahan anggaran 70 hingga 80 kalori untuk empat biji kurma dan 110 hingga 145 kalori untuk empat sudu teh mentega.
“Namun begitu, pengambilan secara berlebihan boleh menyebabkan aras kolesterol jahat meningkat dan secara tidak langsung meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular,” jelasnya.
Tambahnya lagi, sekiranya hendak bersahur dengan makanan yang ringkas dan padat dengan kalori untuk berpuasa, tidak menjadi masalah untuk menjamah kurma dengan mentega dalam kuantiti tidak berlebihan.