PUTRAJAYA: Laluan SmartLane di setiap lebuh raya utama akan kembali diaktifkan oleh semua syarikat konsesi termasuk Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) pada sepanjang musim perayaan Aidilfitri tahun ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam berkata, keputusan itu dibuat susulan inisiatif pelaksanaannya pada perayaan Tahun Baharu Cina sebelum ini mendapat maklum balas menggalakkan daripada pengguna jalan raya.
Hasnol berkata, pengguna diminta untuk menunggu pengumuman daripada syarikat-syarikat konsesi berkaitan berhubung tarikh dan jumlah keseluruhan lokasi SmartLane diaktifkan di setiap lebuh raya.
“Kita berterima kasih kepada pengguna jalan raya yang banyak memberikan maklum balas mengenai keberkesanan sistem SmartLane setelah ia mula diaktifkan sempena perayaan Tahun Baharu Cina lalu.
“Kita akan memperbaiki sistem ini dari masa ke masa. Kementerian turut berharap sistem ini dapat memberi manfaat dan mempertingkatkan lagi aspek keselamatan pengguna jalan raya sepanjang perayaan Aidilfitri,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sebelum ini, pengaktifan sistem SmartLane oleh beberapa konsesi termasuk PLUS dikritik banyak pihak kerana menimbulkan kekeliruan kepada pengguna jalan raya.
Hal ini susulan kekurangan hebahan pemberitahuan mengenai lokasi-lokasi pengaktifan laluan SmartLane menyebabkan ramai pengguna jalan raya salah faham dan menyangka terdapat kenderaan menyalahgunakan laluan kecemasan untuk kepentingan diri.
Dalam perkembangan yang lain, Hasnol turut mendedahkan kementeriannya telah menggalakkan sebahagian syarikat konsesi lebuh raya untuk memperbanyakkan lagi penyediaan khidmat sistem pembayaran terbuka menggunakan kad debit atau kredit di plaza tol.