HomeBeritaKerjasama KBS-MyCC tangani isu kartel tipuan bida

Kerjasama KBS-MyCC tangani isu kartel tipuan bida

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengadakan kerjasama dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi menangani isu kartel tipuan bida.

Menurut KBS, kerjasama yang dibuat menerusi perbincangan susulan pada 20 Februari lalu memfokuskan tiga aspek utama iaitu advokasi mengenai anti persaingan, nasihat polisi daripada MyCC dan perkongsian maklumat serta pelaporan kes, yang disyaki boleh menjadi pelanggaran mengikut Akta Persaingan 2010.

“KBS perlu memberi perhatian yang serius mengenai isu kartel tipuan bida dalam perolehan kerajaan dan melaporkan kepada MyCC sekiranya terdapat tanda-tanda yang menjurus kepada perkara tersebut.

“Ini selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan, PK 1.6 (Integriti Dalam Perolehan Kerajaan),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam urusan perolehan kerajaan, tipuan bida merupakan salah satu daripada risiko di samping risiko rasuah, kebocoran maklumat, pecah amanah dan salah guna kuasa.

KBS dalam kenyataan sama menegaskan, tawaran daripada syarikat atau kontraktor yang menyertai tender dan sebut harga akan diteliti bukan sahaja membabitkan aspek teknikal dan kewangan, malah bebas daripada kartel tipuan bida atau ‘collusion’.

Justeru, syarikat atau kontraktor diingatkan supaya membuat pengisytiharan ‘non-collusion’ dan tidak terlibat dalam sebarang pakatan harga ketika menyertai mana-mana perolehan di KBS.

“Menjadi tanggungjawab pihak KBS khususnya pegawai-pegawai yang terlibat untuk memastikan urusan perolehan kerajaan dilaksanakan berdasarkan amalan tadbir urus baik (good governance practices).

“Ini termasuk dengan mematuhi prinsip-prinsip perolehan kerajaan iaitu akauntabiliti awam, ketelusan, nilai faedah terbaik, persaingan terbuka, serta adil dan saksama,” katanya.

Author

Pilihan Editor