HomeBeritaMalaysia kutuk serangan Israel terhadap rakyat Palestin tunggu bantuan

Malaysia kutuk serangan Israel terhadap rakyat Palestin tunggu bantuan

CYBERJAYA: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai rejim pengganas Israel ke atas rakyat Palestin yang sedang menunggu bantuan di Nabulsi, dekat Genting Gaza pada 29 Februari lalu.

Menurut Kementerian Luar (Wisma Putra), serangan tersebut mengakibatkan lebih 100 rakyat Palestin terkorban manakala kira-kira 700 cedera.

“Tindakan Israel menasarkan rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak bukan sahaja menyalahi undang-undang antarabangsa, tetapi juga pelanggaran terang-terangan terhadap langkah sementara Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 26 Januari 2024 dan Konvensyen Genosid 1948,” kata Wisma Putra dalam kenyataan pada Sabtu.

Malaysia sekali lagi menggesa supaya gencatan senjata kekal disegerakan bagi menghentikan pembunuhan rakyat Palestin yang tidak bersalah dan memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada yang memerlukan di Gaza tanpa sekatan.

Masyarakat antarabangsa perlu menggesa Israel untuk menghentikan kekejaman dan akur terhadap undang-undang antarabangsa.

“Memandangkan situasi yang semakin meruncing, Malaysia berharap masyarakat antarabangsa memenuhi tanggungjawab kemanusiaan, etika dan undang-undang untuk mengelakkan kehilangan nyawa yang lebih banyak,” menurut kenyataan itu.

Malaysia tetap berpegang teguh dengan pendirian bahawa rakyat Palestin berhak mendapat negara mereka sendiri yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan kepada sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Author

Pilihan Editor