HomeBeritaMahkamah & JenayahPolis buru 3 lelaki pukul pemandu e-hailing di Cheras

Polis buru 3 lelaki pukul pemandu e-hailing di Cheras

KUALA LUMPUR: Polis mengesan tiga lelaki yang dipercayai memukul seorang pemandu e-hailing dalam kejadian di Taman Bukit Cheras, di sini, pada 26 Februari lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, ia susulan pihaknya  mengesan rakaman video itu yang tular di media sosial pada jam 11.30 pagi Jumaat.

“Semakan mendapati rakaman berdurasi empat minit dua saat itu memaparkan seorang pemandu e-hailing dipukul tiga lelaki yang dipercayai berlaku jam 6.30 petang pada 26 Februari lalu.

“Difahamkan sebelum kejadian, mangsa hampir melanggar seorang penunggang motosikal ketika hendak mengundurkan keretanya.

“Penunggang motosikal itu kemudian menunjukkan jari tengah sebagai tanda tidak berpuas hati sebelum beredar dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Zam Halim berkata, beberapa minit kemudian, mangsa didatangi tiga lelaki tempatan dari gerai tepi jalan yang memarahinya dengan alasan bersikap biadab terhadap penunggang motosikal.

“Tiga lelaki itu kemudian memukul dan mencederakan mangsa, sebelum pergaduhan dileraikan orang awam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-92845050 sambungan 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Author

Pilihan Editor