SUNGAI PETANI: Penemuan mayat seorang lelaki tanpa identiti dengan kesan terbakar di kawasan kebun kelapa sawit di Bukit Karung, Semeling di sini, pada pagi Jumaat.
Mayat lelaki yang dipercayai terbakar lebih 90 peratus itu ditemui oleh seorang penjaga kebun buah-buahan sekitar jam 11 pagi semalam sewaktu dia sedang menghalau kera yang memasuki kebunnya.
Manakala menurut seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, mayat itu ditemukan dalam keadaan meniarap dan dipercayai meninggal dunia sekitar 24 jam lalu kerana belum berbau.
“Pihak polis yang datang ke lokasi kemudian melakukan pemeriksaan dan membawa mayat berkenaan ke hospital,” katanya.
Susulan itu, mayat itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat yang terbakar itu.
Menurutnya, setakat ini siasatan masih dijalankan dan kes diklasifikasikan kes sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan hasil bedah siasat.
Tambahnya lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil membantu atau menghubungi balai polis berhampiran. – Harian Metro.