MUAR: Seorang lelaki yang menunggang motosikal dengan aksi ala Superman di lebuh raya telah ditahan polis di Kampung Sri Pantai, Mersing, awal pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, suspek berusia 20 tahun ditahan pada pukul 4 pagi selepas video aksi tersebut yang dilakukan di Kilometer 139, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara tular di media sosial.
Beliau berkata, pasukan daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar ke rumah suspek sebaik mendapat maklumat mengenainya.
“Hasil tangkapan, pihak polis berjaya merampas motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Suspek telah ditahan direman tiga hari bagi membantu siasatan lanjut pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Raiz Mukhliz berkata, orang ramai terutamanya remaja perlu sentiasa mengawal diri daripada memandu secara melulu dan berbahaya yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.
“Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang dikesan melakukan aktiviti seumpama ini bagi memastikan keselamatan orang ramai sentiasa terjaga,” katanya.