BEREGU wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah membuat kejutan menerusi persembahan bertenaga di Kejuaraan Badminton Seluruh England 2024 Super 1000 lewat malam tadi.
Dalam aksi 49 minit di Utilita Arena Birmingham, England, beregu negara berjaya menumbangkan beregu nombor satu dunia, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China seterusnya menghantar mereka pulang menerusi kemenangan straight set, 22-20, 21-16.
Sebagai rekod, ini adalah kemenangan pertama pasangan negara itu ke atas lawan berkenaan selepas tewas dalam lima pertemuan sebelum ini.
Lebih manis, kejayaan itu dianggap hadiah hari lahir bermakna buat Pearly yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-24, semalam.
Beregu nombor 15 dunia tersebut tampil dengan motivasi tinggi selepas menyingkirkan cabaran rakan senegara, Vivian Hoo- Lim Chiew Sien, straight set 21-10, 21-10 dalam aksi 26 minit pada Rabu.
Menurut laporan Sinar Harian, Pearly-Thinaah akan berdepan wakil Jepun nombor 11 dunia, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto di suku akhir yang sebelum itu menyingkirkan cabaran beregu Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti 14-21, 21-10, 21-16 dalam masa 60 minit.
Bagaimanapun cabaran beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie berakhir selepas tewas kepada gandingan nombor empat kejuaraan dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.
Soon Huat-Shevon Lai yang berstatus nombor 14 dunia tewas kepada Qing Chen-Yi Fan, straight set 21-12, 21-5 dalam masa 28 minit.
Soon Huat-Shevon Lai sebelum itu mara setelah menewaskan gandingan dari Taiwan, Chang Ko chi-Lee Chih Chen, 21-17, 26-24 dalam masa 43 minit.