HomeBeritaKanak-kanak lelaki parah tertusuk besi pada leher, dada

Kanak-kanak lelaki parah tertusuk besi pada leher, dada

 

KOTA MARUDU: Seorang kanak-kanak lelaki cedera parah setelah tertusuk besi di leher dan dadanya dalam kejadian berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tandek di Kampung Tandek pada Khamis.

Mangsa berusia lima tahun itu dipercayai terjatuh ketika berjalan bersama ibunya menuju ke sebuah kedai runcit berhampiran SK Tandek.

Susulan kejadian itu, ibu mangsa terus bergegas menghantar anaknya itu ke Hospital Kota Marudu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bagaimanapun, menurut laporan Kosmo!, pihak hospital terpaksa menghubungi pihak bomba ekoran besi yang tertusuk pada mangsa sukar untuk dikeluarkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Hasbi Hajat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.31 petang.

“Sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke hospital. Anggota bomba bertugas berjaya memotong besi berkenaan dengan menggunakan peralatan khas.

“Bagaimanapun, keadaan mangsa kini tidak dapat dipastikan kerana mangsa ditidurkan sewaktu operasi mengeluarkan besi itu dijalankan. Sebaik besi itu berjaya dikeluarkan, mangsa diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Author

Pilihan Editor