MENTALITI sesetengah pihak yang menilai sifat peribadi seseorang berdasarkan pakaian mahu pun penampilan luaran semata-mata seharusnya ditolak jauh.
Ini selepas seorang penyanyi jalanan atau pengamen berimej punk menjadi antara individu pertama membantu mangsa buli di jalan raya.
Menerusi video tular berdurasi 56 saat itu, seorang penunggang skuter wanita pada mulanya dilihat memberhentikan kenderaannya di persimpangan lampu isyarat.
Namun, ketika dia cuba meneruskan perjalanannya, sebuah kereta putih berjenama Daihatsu yang memandu secara terburu-buru bertindak merempuh belakang kenderaannya.
Aksi pemandu kereta itu menyebabkan skuter tersebut terjatuh, namun wanita berkenaan sempat mengelak dirinya daripada terjatuh dan bertahan pada pembahagi jalan.
Tidak menunggu lama, beberapa orang awam termasuk pengamen yang berada di sekitar lokasi kejadian segera menghulurkan bantuan ke atas wanita malang tersebut.
Mereka dilihat membangunkan semula skuter yang terjatuh bagi memudahkan wanita berkenaan meneruskan perjalanan.
Tanpa sebarang simpati mahu pun bantuan, pemandu kereta itu sebaliknya dilihat hanya selamba berada di dalam kenderaan dan menunggu sehingga skuter terbabit tidak menghalang laluannya.
Tidak hanya memberi bantuan kepada mangsa, pengamen yang berambut perang, berjaket hitam dan membawa ukulele itu turut dilihat memastikan pemandu berkenaan diberi ruang melakukan pergerakan tanpa melanggar skuter terbabit buat kali kedua.
Masa dan lokasi sebenar kejadian masih tidak dapat dipastikan, namun ia dipercayai berlaku di negara jiran berdasarkan nombor plat kenderaan terbabit.