JOHOR BAHRU: Seorang penunggang motosikal maut dalam nahas membabitkan lima kenderaan selepas mengelak serpihan batu yang jatuh dari sebuah treler jenis Volvo di KM6.9 Lebuhraya Linkedua arah selatan pada Rabu.
Kemalangan jalan raya tersebut melibatkan lima buah kenderaan iaitu tiga motosikal jenis Yamaha Y15R, Yamaha NVX 155 serta Yamaha LC135 dan dua buah treler.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Supt Ibrahim Mat Som berkata, pihaknya menerima laporan behubung kejadian lebih kurang pada 6:29 petang semalam.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila, mangsa yang maut sedang menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha Y15R berada di lorong kanan telah melanggar cebisan batu konkrit (precast concrete) yang jatuh daripada treler jenis Volvo.
“Mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas di lorong kanan, kemudian dari arah belakang datang dua buah motosikal jenis Yamaha NVX 155 serta Yamaha LC135 dan sebuah treler jenis sinotruk telah menggilis mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan patah di kaki kiri sebelum mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ibrahim berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk tujuan bedah siasat.
Dalam pada itu, orang ramai diminta untuk menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik daerah Iskandar Puteri di talian 07-5101322 jika mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian.