HomeBeritaKerja gosok, lipat baju tak popular tapi ringankan beban wanita bekerja

Kerja gosok, lipat baju tak popular tapi ringankan beban wanita bekerja

 

JEMPOL: Seorang suri rumah mengambil keputusan melakukan pekerjaan kurang digemari ramai, iaitu perkhidmatan melipat dan menggosok pakaian bagi menambah pendapatan keluarganya.

Siti Aishah M Razali, 35, berkata, dia sama sekali tidak berasa malu sebaliknya keputusannya itu diyakini dapat memberi kelegaan dan kegembiraan kepada wanita yang bekerja.

“Perkara yang orang tidak gemar buat, itulah yang saya buat sebab ada sesetengah orang apabila menghadap pakaian bertimbun dan berbakul mereka berasa tertekan, tambahan apabila perlu mengurus hal-hal lain di rumah.

“…Tetapi macam saya yang dah belajar teknik lipat baju yang kemas, pantas menerusi pelbagai medium media sosial, apabila kita sudah biasa melakukannya secara tidak langsung dapat urus masa,” katanya kepada Sinar Harian di kediamannya di Taman Bahau pada Rabu.

Ditanya bagaimana tercetusnya idea untuk membuat perkhidmatan itu, Siti Aishah berkata, sebelum itu, dia sudah menjalankan pelbagai perniagaan namun semuanya separuh jalan kerana meletihkan dan waktunya agak terhad sekali gus menyebabkannya ‘burn out’.

“Suami pula menyokong asalkan pakaian di rumah sendiri juga berlipat, anak-anak dan keluarga dapat diurus sebaiknya tanpa rasa tertekan maka saya mulakan perkhidmatan ini pada Jun 2022 sehingga kini.

“Semuanya dilakukan di rumah sahaja, sama ada pelanggan menghantar pakaian mereka di sini ataupun saya mengambilnya di sekitar Bahau, Batu Kikir dan Bandar Seri Jempol.

“Saya juga tidak sangka ada permintaan apabila boleh cecah 70 hingga 80 kilogram baju pelanggan hantar dalam sehari, kalau sebulan beratus kilogram juga pakaian dengan pendapatan antara RM1,000 hingga RM2,000 bergantung kepada kuantiti,” katanya.

Siti Aishah menggunakan kaedah lipatan poket agar pakaian lebih kemas dan mudah dikendali. – Foto: Sinar Harian

Bagi melipat pakaian yang sudah digosok, Siti Aishah memilih kaedah lipatan poket kerana apabila pakaian jatuh ia tidak terbuka menyebabkan almari bersepah dan tidak kemas semasa mengambil pakaian.

“Saya akan susun dan masukkan dalam plastik supaya ia lebih kemas dan memudahkan pelanggan untuk menyimpannya nanti,” katanya yang mengenakan RM2 bagi setiap satu kilogram pakaian.

Katanya selain melipat dan menggosok pakaian, dia juga menyediakan perkhidmatan membasuh pakaian malah berpuas hati apabila pelanggannya suka susulan dapat memudahkan urusan mereka.

Author

Pilihan Editor