SEKUMPULAN penunjuk perasaan menutup tangga Muzium Seni Metropolitan New York dengan selimut tampalan besar yang memaparkan mesej solidariti dengan Palestin untuk menarik perhatian kepada perang Israel ke atas Gaza, pada Ahad.
Penunjuk perasaan berkumpul di tangga muzium itu juga dikenali sebagai The Met, lapor Anadolu.
Mereka melaungkan slogan seperti ‘Bebaskan Palestin’ dan ‘Berapa ramai kanak-kanak yang dibunuh Israel hari ini?’
Mereka juga mengedarkan brosur kepada pengunjung yang keluar masuk muzium.
Risalah-risalah itu mempersoalkan sikap berdiam diri muzium mengenai pembunuhan beramai-ramai Israel di Gaza dan sokongannya terhadap operasi ketenteraan ke atas Hamas, di samping menyokong keadilan ditegakkan di dunia ini.
Israel telah melancarkan serangan ketenteraan maut ke atas wilayah Palestin sejak serangan rentas sempadan yang diketuai oleh kumpulan Palestin Hamas di mana kira-kira 1,200 rakyat Israel terbunuh.
Lebih 32,200 rakyat Palestin telah terbunuh dan lebih 74,500 cedera di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.
Perang Israel telah memaksa 85 peratus penduduk Gaza melarikan diri di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk, manakala 60 peratus daripada infrastruktur enklaf itu telah rosak atau musnah, menurut PBB.
Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Keputusan sementara pada Januari mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan pembunuhan beramai-ramai dan mengambil langkah-langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.