CYBERJAYA: Umat Islam diseru untuk memanfaatkan ruang yang ada untuk menekuni kupasan dan tafsir al-Quran, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi perutusan Nuzul al-Quran yang dikongsikan di laman Facebook pada Khamis, Perdana Menteri berkata, penghayatan mesej hikmah al-Quran akan mendidik manusia menjadi insan yang bertaqwa, berakhlak mulia, adil dan sederhana dalam segenap perkara.
“Meski di akhirnya kita hanya berhasil meneguk setitis air dari lautan luas hikmah kebijaksanaan al-Quran, namun Allah SWT tidak pernah memberati hamba-Nya.
“Dan yang demikian itu cukup buat melunasi bahagian penting dari kehidupan kita sebagai manusia dalam bahtera kehidupan ini,” katanya.
Perdana Menteri berkata, umat Islam dituntut memperbanyak tilawah al-Quran pada setiap Ramadan bagi meningkatkan darjat dan pahala, namun ia tidak harus terhenti sekadar itu.
Jelas beliau, umat Islam juga dituntut untuk bertadabbur memahami seruan dan gesaan Qurani yang hakikatnya sarat dengan mesej akhlak dan kemanusiaan sejagat.
“Bahkan, memahami mesej al-Quran itu seharusnya lebih ditekankan kerana al-Quran itu hidup, berbicara dan menjadi suluhan dalam tiap kurun sejarah.
“Ibrah yang terpancar dari firman Ilahi tidak dilorongkan khusus buat orang beriman, sebaliknya ia adalah petunjuk buat seluruh umat manusia (hudan linnas).
“Tiap mauduk perbahasan, tiap kisah dan riwayat, baik kisah pemuda al-Kahfi atau kisah Nabi Allah Yusuf AS, kesemuanya sarat dengan roh perjuangan dan iktibar yang mendalam.
“Menekuni tiap ayat bagai menggenggam cahaya obor yang menyoroti kejadian dan menerangi jalan ke hadapan,” katanya.