HomeBeritaProjek ECRL tembus 3 terowong sehari, 30 terowong selesai dikorek

Projek ECRL tembus 3 terowong sehari, 30 terowong selesai dikorek

 

KUANTAN: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) merekod satu lagi kejayaan dengan penembusan tiga terowong dalam sehari di Bentong.

Ia membabitkan Terowong Bentong 1 sepanjang 561 meter (m), serta Terowong Kampung Lentang 1 dan Terowong Kampung Lentang 2 masing-masing sepanjang 270m dan 478m yang mencatat penembusan lebih awal berbanding jadual menerusi kaedah gerudi dan letup, semalam.

Perkembangan ini menjadikan 30 terowong di sepanjang jajaran ECRL selesai dengan kerja pengorekan setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, lapisan kekal untuk ‘Terowong Bentong 1’ mencapai tahap kemajuan 348 meter sebelum penembusan, manakala troli lapisan terowong bagi kerja lapisan kekal ‘Terowong Kampung Lentang 1’ dan ‘Terowong Kampung Lentang 2’ dalam penyediaan.

“Setiap terowong mempunyai purata ketinggian 12m dan lebar 13m, sekali gus menyediakan ruang bagi pengoperasian landasan berkembar tolok standard apabila siap kelak.

“Pembinaan terowong ECRL di Bentong akan membolehkan landasan kereta api mematuhi kecerunan maksimumnya sebanyak 0.9 peratus serta mengurangkan penebangan hutan terbuka yang ketara dan meminimumkan kesan terhadap hidupan liar di kawasan itu,” katanya melalui kenyataan, lapor Berita Harian.

Beliau berkata, kejayaan itu didukung teknologi pengorekan terowong canggih serta dedikasi dan kerjasama erat pasukan ECRL di jajarannya sepanjang 665 kilometer.

“Kami optimis pembinaan jajaran ECRL dari Kota Bharu ke terminal pengangkutan bersepadu (ITT) Gombak akan siap pada Disember 2026, memandangkan kerja pengorekan terowong yang agak mencabar dan kebergantungan keadaan geologi berjalan lancar dan mengikut jadual,” katanya.

Mengenai kemajuan ECRL, Darwis berkata, ia mencapai kemajuan keseluruhan 62.40 peratus setakat Februari lalu.

“Ia disokong kerja infrastruktur yang pesat termasuk pengorekan terowong, pelancaran rasuk jejambat, pemasangan landasan dan pembinaan stesen.

“Projek ECRL disokong 23,000 pekerja di kira-kira 1,900 tapak pembinaan di sepanjang jajarannya di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor,” katanya.

 

Author

Pilihan Editor