LAHAD DATU: Seorang pelajar lelaki, 17 tahun dipukul sehingga maut ditemui dalam keadaan terbaring di atas lantai dan tidak sedarkan diri di sebuah asrama kolej vokasional di sini, hari ini.
Difahamkan kejadian tersebut disedari oleh warden asrama yang bertugas kira-kira 6.50 pagi dan menemukan mangsa, Muhd Nazmie Aizat Muhd Narul Azwan, 17, dalam keadaan tidak sedarkan diri
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner (ACP) Rohan Shah Ahmad berkata siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkaan perselisihan faham antara mangsa dengan penghuni asrama lain.
“Pemeriksaan selanjutnya mendapati terdapat kesan kecederaan dan lebam di beberapa bahagian tubuh badan mangsa.
“Pihak polis mengenal pasti punca kejadian ialah perselisihan faham antara mangsa dengan penghuni asrama yang lain.
“Seterusnya mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Lahad Datu bagi proses bedah siasat untuk mengenalpasti punca kematian mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Hospital Lahad Datu yang turut hadir memberikan rawatan kecemasan.
Rohan berkata, bertindak atas laporan yang dibuat oleh Pengarah kolej berkenaan, pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu telah bergegas ke lokasi kejadian.
“Kejadian berlaku di bangunan asrama lelaki kolej terbabit dan mendapati kejadian benar berlaku berikutan satu mayat remaja lelaki dalam keadaan terbaring di atas lantai di dalam sebuah bilik di asrama kolej itu,” katanya.
Jelasnya lagi, setakat ini polis telah menahan 13 orang pelajar lelaki berusia lingkungan 16 hingga 19 tahun manakala satu rampasan alat pengecas telefon pintar dipercayai berkait dengan siasatan kes ini.
Tambahnya, tujuh lagi saksi bebas telah dikesan untuk membantu siasatan.
Bagaimanapun, Rohan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dalam kes ini dan pihak polis masih menjalankan siasatan secara terperinci daripada pelbagai sudut secara telus.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.