SEBUAH pesawat terpaksa melakukan pendaratan cemas selepas salah satu daripada roda kenderaan itu terjatuh ke tempat letak kereta di sebuah lapangan terbang.
Menerusi video tular, roda berkenaan terjatuh selepas beberapa saat pesawat United Airlines itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa San Fransisco, dekat California, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis.
Roda itu dilihat terjatuh ke tempat letak kereta yang digunakan oleh pekerja lapangan terbang, sekali gus mengakibatkan beberapa kenderaan mengalami kerosakan.
Lapor NDTV, pesawat itu bagaimanapun berjaya melakukan pendaratan dengan selamat.
Menurut United Airlines, terdapat 249 individu termasuk anak kapal dan penumpang berada di dalam pesawat yang menuju ke Osaka, Jepun itu.
Boeing 777 memiliki enam buah roda pada setiap sisi pendaratan utamanya dan direka khas untuk mendarat dengan selamat.
Difahamkan, para penumpang sudah pun melakukan penerbangan semula pada hari sama.
https://twitter.com/RadarBoxCom/status/1765854848380002615?ref_src=twsrc%5Etfw%7Ctwcamp%5Etweetembed%7Ctwterm%5E1765854848380002615%7Ctwgr%5Ee49df65b73802e3014939bc1edc7669e49e9f720%7Ctwcon%5Es1_&ref_url=https%3A%2F%2Fwww.ndtv.com%2Fworld-news%2Fvideo-united-airlines-planes-wheel-falls-off-soon-after-take-off-5198782
Januari lalu, sebuah pesawat penumpang syarikat Alaska Airlines yang dalam penerbangan dari Portland, Oregon, ke Ontario, California, terpaksa melakukan pendaratan cemas.
Ini selepas salah satu daripada panel tingkap pesawat itu meletup dan terbang di udara.
Menurut Alaska Airlines, pesawat yang membawa seramai 174 penumpang dan enam anak kapal mengalami masalah teknikal sejurus berlepas dan terpaksa berpatah balik ke Portland.