CYBERJAYA: Keputusan segelintir anak muda yang terpaksa mengorbankan keinginan untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi akibat kekangan kewangan dilihat menjadi satu kebimbangan ke atas institusi pendidikan negara.
Sebelum ini, MEDIA VARIASI melaporkan bahawa, rata-rata individu yang lahir mulai tahun 1997 hingga 2012 atau lebih dikenali sebagai Generasi Z (Gen Z), memilih untuk terlibat dengan ekonomi gig berbanding menyambung pelajaran.
Keputusan itu dibuat selepas mereka didapati memiliki pelbagai komitmen dan kekangan kewangan yang tinggi, sekali gus memaksa golongan tersebut untuk mencari punca pendapatan tambahan khususnya menerusi ekonomi gig.
Pensyarah di Fakulti Pendidikan Universiti Malaysia (UM), Profesor Madya Dr Zuwati Hasim tidak menafikan bahawa, Gen Z lebih terarah untuk melibatkan diri dalam ekonomi gig selepas ia dilihat dapat memberi keuntungan segera dalam jangka pendek, selain mampu memenuhi kehendak semasa atau keperluan peribadi.
Beliau berkata, ekonomi gig juga mampu memberi ruang yang fleksibel dan tidak terikat dengan masa dan lokasi.
Di sebalik semua kelebihan yang diperolehi itu, beliau berkata, faktor sosioekonomi pula mendesak anak muda lepasan sekolah memilih untuk bekerja berbanding menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi.
Justeru, beliau menyarankan agar generasi itu diberi pendedahan mengenai kepentingan dan nilai pendidikan yang bukan sahaja membina pengetahuan, malah kemahiran diperlukan apabila menempuh alam pekerjaan.

Katanya, perkara tersebut penting bagi menarik minat generasi itu meneruskan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan institusi pengajian tinggi (IPT) perlu melihat kepada kajian pasaran untuk memastikan program yang ditawarkan itu adalah relevan dan kontemporari, sesuai dengan minat pelajar dan keperluan haluan kerjaya semasa.
“Selain itu, pendekatan pengajaran perlu lebih ‘versatile’ merangkumi pendidikan secara hibrid mahu pun secara dalam talian, selain mengintegrasikan pelbagai bentuk teknologi dalam pendidikan,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Namun begitu, katanya, penglibatan golongan itu di dalam ekonomi gig tidak boleh diperlekehkan.
Tambahan pula, ia mampu memberi peluang untuk mereka menimba kemahiran dan pengalaman dalam perniagaan serta membuka ruang untuk menjadi lebih kreatif.
Ekonomi gig merupakan suatu trend pasaran bebas yang memberi kebebasan kepada syarikat untuk membina platform dengan tenaga kerja (pekerja) gig, tanpa perlu menjadi pekerja sepenuh masa seperti mana yang ditakrifkan mengikut Akta Kerja 1955.
Antara syarikat terbabit membina platform aplikasi teknologi ekonomi gig adalah Grabfood, Foodpanda, BungkusIt, Lalamove, Lazada, Shopee, AirBnB, TaskRabbit, Gran dan MyCar.