HomeBeritaKPM ambil tindakan kesalahan seksual guru terhadap pelajar

KPM ambil tindakan kesalahan seksual guru terhadap pelajar

CYBERJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kesalahan seksual di semua institusi pendidikan di bawah seliaannya.

Dalam kenyataan pada Isnin, KPM memaklumkan bahawa, pihaknya bersedia memberi kerjasama penuh kepada siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa membabitkan seorang guru wanita, yang didakwa melakukan kesalahan seksual terhadap pelajar lelaki berusia 16 tahun.

“KPM memandang serius kes salah laku seksual yang melibatkan guru dan murid seperti yang dilaporkan oleh media.

“Kes ini berada dalam perhatian KPM dan tindakan telah diambil mengikut garis panduan sedia ada,” menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut, KPM turut menyeru semua pihak melaporkan kes jenayah seksual supaya tindakan tegas dapat diambil.

“Institusi pendidikan bawah KPM diminta untuk mematuhi Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Seksual yang sedang berkuatkuasa bertujuan memelihara keselamatan dan kesejahteraan murid,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, remaja lelaki itu didakwa menjalinkan hubungan dengan guru tersebut, manakala keluarganya telah membuat laporan polis.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, laporan polis dibuat Disember tahun lalu manakala siasatan lanjut sedang dijalankan.

Kesemua pihak yang terbabit sudah dipanggil merakam percakapan termasuk remaja dan guru berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap kanak Kanak 2017, yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan sebatan.

Difahamkan, laporan dibuat ibu mangsa pada 12 Disember lalu mendakwa, suspek yang berusia 37 tahun mencabul mangsa ketika mengulang kaji pelajaran bersama guru terbabit.

Ibu mangsa mendakwa, terdapat kesan kemerahan pada bahagian leher anak lelakinya selepas mangsa pulang daripada mengulang kaji pelajaran Matematik bersama suspek.

Author

Pilihan Editor