PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 bagi meluaskan kawalan terhadap media dalam talian tidak dicadangkan untuk mendapat pindaan.
Menurut Saifuddin, sekiranya terdapat sebarang pindaan, ia hanya melibatkan nilai kompaun bagi beberapa pelanggaran atau salah laku.
“Saya juga ditanya adakah KDN (Kementerian Dalam Negeri) akan pinda akta percetakan untuk kawal media dalam talian, itu juga tak betul. Kita tak ada cadangan pindaan ke arah itu, kalau ada (hanya) baru terfikir pindaan dari segi kompaun atas beberapa pelanggaran, itu sahaja.
“Pindaan berkaitan nak kawal media online tiada dalam radar kami,” katanya menerusi sidang media di sini pada Jumaat.
Saifuddin berkata demikian susulan terdapat dakwaan yang mengaitkan tindakan pindaan akta itu dengan kementeriannya.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, KDN tidak menentang penubuhan Majlis Media Malaysia yang akan dibentangkan pada sidang Parlimen, Jun depan.
“Saya terkejut jugalah (kerana) perkara ini dibincang di dalam mesyuarat Kabinet yang lepas.
“Saya tengok dan semak dengan KSU (Datuk Ruji Ubi) bahagian mana kita tak setuju, tiada pun pendirian yang kata kita tak setuju dari dasar, itu tak betul,” ujarnya.
Pada 21 Februari lalu, media tempatan melaporkan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan sedang disiapkan Jabatan Peguam Negara dan akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk kelulusan sebelum dibentangkan di Parlimen.