KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed masih menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) akibat jangkitan yang dialami sejak Januari lalu.
Dr Mahathir menerusi kenyataan di Facebook berkata, kesihatan dirinya semakin pulih berkat doa yang diberikan serta usaha gigih doktor, jururawat dan kakitangan IJN.
“Saya harap dalam masa terdekat dapatlah saya pulih semula seperti biasa dan dibenar pulang ke rumah.
“Setakat ini adakala saya dibenarkan pulang sekejap atau home leave oleh pakar di sini, tapi tetap perlu bermalam di IJN,” katanya.
Tidak melepaskan peluang, Dr Mahathir dan isterinya turut mengucapkan selamat berpuasa kepada semua umat Islam di negara ini.
“Alhamdulillah dapat kita bertemu dan diberi peluang melakukan ibadah dan amalan sempena bulan yang amat istimewa bagi umat Islam,” ujarnya.
Pada masa yang sama, beliau turut berkesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesihatan dan kesejahteraan dirinya serta isteri.