HomeBeritaTunku Mahkota Ismail gesa tindakan tegas isu stoking kalimah Allah

Tunku Mahkota Ismail gesa tindakan tegas isu stoking kalimah Allah

CYBERJAYA: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah.

Tunku Mahkota Ismail bertitah, isu tersebut tidak boleh dipandang remeh, berikutan kalimah Allah merupakan kalimah suci yang sangat tinggi di hati umat Islam.

Baginda pada masa sama berharap, isu yang mengguris hati dan perasaan umat Islam itu tidak akan berulang pada masa hadapan.

“Saya memandang serius isu ini dan berharap perkara ini tidak mengganggu gugat keharmonian negara,” titah baginda menerusi hantaran di laman Facebook HRH Crown Prince of Johor pada Selasa.

Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial stoking memaparkan kalimah Allah yang dijual di KK Mart Bandar Sunway, dekat Petaling Jaya, Selangor selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Rabu minggu lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dilaporkan memohon maaf berhubung video dan gambar tular berkaitan penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Syarikat itu dilaporkan berkata, jualan stoking berkenaan dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

Pengendali rakaian kedai serbaneka itu turut meminta supaya tidak memboikot perniagaan mereka.

Pada Isnin, polis membuka dua kertas siasatan berhubung isu penjualan stoking bertulis kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart Sunway.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, sebanyak 42 laporan polis telah diterima dari seluruh negara berkaitan isu terbabit.

Menurutnya, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan Undang-Undang (D5) Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

 

 

Author

Pilihan Editor