HomeGlobalUsus, jantung wanita dipotong selepas ‘kantoikan’ jenayah suami

Usus, jantung wanita dipotong selepas ‘kantoikan’ jenayah suami

SEORANG lelaki tergamak membunuh isterinya, selepas wanita itu membuat laporan polis atas dakwaan keganasan rumah tangga.

Difahamkan, wanita yang dikenali Milena Dantas Bereta Nistarda, 53,  ‘dirogol’ atau dipaksa untuk melakukan hubungan seks bersama suaminya.

Tidak hanya melaporkan perkara itu kepada pihak polis, wanita tersebut turut bertindak memandu kereta milik suaminya dan merempuh kediaman mereka.

Perkara itu menaikkan kemarahan suspek dikenali sebagai Marcelo Nistarda, 49, yang kemudian tergamak membunuh isterinya dengan cara kejam.

Ketika serbuan pihak polis, lelaki itu ditemui sedang memegang pisau yang dipercayai digunakan untuk mengeluarkan organ wanita berkenaan.

Selain jantung, usus mangsa juga antara organ yang dipotong oleh suspek.

Kejadian itu berlaku di Vila Abarca di bandar Tupa, 400 batu (643 kilometer) dari barat laut Sao Paulo di Brazil.

Polis mengesahkan bahawa Milena membuat laporan pada kira-kira jam 9.30 pagi Isnin, sebelum mangsa dibunuh pada sekitar jam 1.30 tengah hari pada hari sama.

Menurut Milena dalam laporannya, suaminya sering mengurungnya dan memaksa melakukan hubungan seks di luar kehendaknya.

Sementara itu, suspek yang bekerja sebagai pengurus perniagaan mengaku melakukan jenayah tersebut.

“Suspek memiliki pisau di tangannya ketika anggota polis membuat serbuan di rumahnya, malah dia juga merayu supaya dirinya ditembak atas jenayah dilakukannya.

“Anggota polis kemudian memujuk lelaki itu sebelum pisau yang ada di tangannya dibaling ke tanah,” kata seorang pegawai polis seperti dilapor Daily Mail.

Suspek juga enggan menjawab sebarang soalan sebaik sahaja dia dibawa ke balai polis berhampiran.

Pasangan itu sudah pun mendirikan rumah tangga selama 29 tahun dan dikurniakan seorang anak lelaki yang telah dewasa.

Pasangan itu juga membesarkan seorang anak perempuan hasil hubungan Marcelo bersama wanita lain.

Penderaan terhadap Milena semakin kerap apabila anak-anak mereka meninggalkan rumah pada beberapa bulan lalu.

Suspek dilapor ditahan reman selepas berdepan pertuduhan di mahkamah.

Pada masa sama, mangsa akan dikebumikan selepas bedah siasat dilakukan.

Author

Pilihan Editor