SEKURANG-KURANGNYA 10 kru maut dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pada Selasa pagi.
Difahamkan, kemalangan tersebut membabitkan aset milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Sebelum ini, tular video berdurasi 21 saat di media sosial, yang memaparkan sebuah helikopter terlanggar bahagian belakang sebuah lagi helikopter sebelum kedua-duanya dilihat terjunam ke darat.
Video sama turut memaparkan terdapat serpihan helikopter jatuh ke dataran berhampiran lokasi ratusan anggota TLDM lain sedang melakukan latihan perbarisan.
Sementara itu, TDLM menerusi kenyataan awal memaklumkan, nahas berkenaan berlaku ketika Latihan Lintas Hormat Sambutan HUT TLDM ke-90.
“Kedua-dua helikopter jenis HOM (M503-3) dan Fennec (M502-6) itu berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi.
“Pesawat HOM (M503-3) terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut, manakala pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut,” kata kenyataan tersebut.
Menurut TLDM, kesemua kru bagi kedua-dua pesawat berkenaan tiada yang terselamat.
“Sebarang maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.
Setakat ini, mangsa yang dikenalpasti/dipercayai terlibat adalah:
a. Pesawat HOM (M503-3) membabitkan tujuh orang kru:
i) Komander Muhammad Firdaus Ramli (TLDM) – PM Skuadron 503.
ii) Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin (TLDM).
iii) Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi (TLDM).
iv) Pegawai Waran II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun.
v) Akan disahkan
vi) Akan disahkan
vii) Akan disahkan
b. Pesawat Fennec (M502-6) membabitkan tiga orang kru
i) Komander Muhamad Amir Mohamad (TLDM) – PM Skuadron 502
ii) Leftenan Sivasutan a/l Thanjappan (TLDM)
iii) Pegawai Waran II, TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi
Dalam perkembangan sama, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng, Saiful Rizan Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.50 pagi.
Menurutnya, pihak bomba sedang giat melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit di lokasi nahas.