HomeGlobalCubaan ‘selfie’ gagal, pelancong maut jatuh dalam gunung berapi aktif di Indonesia

Cubaan ‘selfie’ gagal, pelancong maut jatuh dalam gunung berapi aktif di Indonesia

INDONESIA: Cubaan untuk mengambil gambar percutian berubah tragis apabila seorang pelancong terjatuh ke dalam gunung berapi aktif di Banyuwangi, Jawa Timur pada Sabtu.

Mangsa yang dikenali sebagai, Huang Lihong, 31, terjatuh ke dalam gunung berapi aktif ketika sedang berposing di tepi kawah untuk mengambil gambar. 

Menurut laporan IBT, Lihong dipercayai tergelincir dan jatuh ke dalam gunung berapi kerana sebahagian pakaiannya dijumpai tersangkut pada muka batu.

Lihong dan suaminya, Yong yang berasal dari China itu, telah mendaki lereng dengan jurupandu tempatan untuk menyaksikan matahari terbit dari pinggiran gunung berapi. 

Salah satu gambar yang tular menunjukkan Lihong sempat berposing di tepi gunung berapi dengan satu kaki diangkat, berlatar belakangkan aliran wap dan sulfur sedang menjulang.

Pihak penyelamat mengambil masa lebih dari dua jam untuk mengeluarkan mayat mangsa yang berada di kedalaman 75m (250 kaki) dalam mulut gunung berapi.

Susulan itu, mayat mangsa dijadualkan akan dihantar ke Bali sebelum dibawa dengan kapalterbang ke China.

Untuk rekod, Gunung Ijen merupakan sebahagian daripada kumpulan gunung berapi di sempadan antara Banyuwangi dan Bondowoso di Jawa Timur. 

Manakala api biru dan tasik kawah yang menjadi daya tarikan pelancong di gunung tersebut pada asalnya adalah kesan penghasilan gas sulfur yang mengalir dari kawah.

Author

Pilihan Editor