SERAMAI 23 lelaki termasuk 19 pelajar sekolah menengah ditahan kerana merusuh dalam kejadian di Pantai Puteri, dekat Tanjung Kling, Melaka pada 29 Mac lepas.
Menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah, kesemua individu berkenaan ditahan secara berperingkat di sekitar kawasan Tanjung Kling, Malim dan Tanjung Minyak bermula jam 2 petang hingga 9 malam pada Rabu lepas.
Beliau berkata, kesemua pelajar terlibat adalah dari sekolah menengah yang berbeza di sekitar Tanjung Kling manakala dalam kejadian itu, seorang pelajar berusia 15 tahun lebam seluruh badan serta muka akibat dipukul.
“Siasatan awal mendapati, pergaduhan melibatkan dua kumpulan disebabkan rasa tidak puas hati serta selisih faham melibatkan insiden lama, yang berpunca daripada perbuatan ejek-mengejek yang akhirnya mencetuskan pergaduhan.
“Polis turut merampas tiga topi keledar dan sebatang kayu dipercayai digunakan dalam kejadian itu dan kesemua suspek telah dirakam percakapan dan tidak direman,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sejak Khamis, tular di media sosial video berdurasi 4.09 minit memaparkan insiden pergaduhan itu, manakala nenek kepada mangsa berusia berusia 15 tahun tersebut membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Kling pada 31 Mac lepas.
Mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.