HomeBerita23 bas percuma untuk mahasiswa Johor pulang beraya

23 bas percuma untuk mahasiswa Johor pulang beraya

JOHOR BAHRU: Sebanyak 23 bas percuma disediakan oleh kerajaan Johor untuk membawa pulang 1,000 mahasiswa dari negeri itu yang menuntut di 11 institusi pendidikan tinggi (IPT) seluruh negara sempena perayaan Aidilfitri.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM100,000 menerusi inisiatif Program Jom Balik Raya Bas Percuma Mahasiswa Johor Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri 2024 yang bermula 29 Mac lalu hingga semalam.

“Inisiatif ini bagi memastikan mahasiswa Johor yang merantau jauh di IPT seluruh Malaysia pulang ke selatan tanah air dengan selesa dan selamat serta dapat mengurangkan bebanan kos pengangkutan untuk beraya bersama keluarga tercinta,” katanya, lapor Harian Metro.

Aznan berkata, antara IPT terbabit ialah Universiti Malaysia Perlis, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Sultan Zainal Abidin dan Universiti Malaysia Terengganu.

Menurutnya, inisiatif itu turut mendapat kerjasama Yayasan Pelajaran Johor, Majlis Agama Islam Negeri Johor, Gabungan Anak Johor dan Persatuan-Persatuan Mahasiswa Anak Johor.

Author

Pilihan Editor