HomeBeritaHujan lebat serta ribut petir dijangka pagi raya Aidilfitri ini

Hujan lebat serta ribut petir dijangka pagi raya Aidilfitri ini

CYBERJAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menjangka ribut petir dan hujan berlaku di beberapa negeri pada pagi Aidilfitri ini.

METMalaysia dalam satu kenyataan berkata, pada pagi Rabu ini, ribut petir dan hujan dijangka berlaku di Johor, Kelantan dan Terengganu, selain di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu serta Kapit di Sarawak dan Sandakan di Sabah.

“Pada waktu petang pula, dijangka ribut petir dan hujan berlaku di kebanyakan tempat di Perak dan Selangor.

“Ribut petir dan hujan turut dijangka melanda beberapa tempat di Kedah, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kelantan, Terengganu serta Pahang dan Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Kapit, Miri dan Limbang di Sarawak serta Sandakan, Pedalaman dan Tawau di Sabah,” katanya.

Sementara itu, pada waktu malam pula, ribut petir dan hujan dijangka melanda beberapa tempat di Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pahang.

Di Sarawak, katanya, ia membabitkan Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu dan Kapit, selain Pedalaman di Sabah.

METMalaysia turut menjangka ribut petir dan hujan di beberapa tempat pada Khamis ini di Pahang, Johor dan Sandakan, Sabah.

“Pada waktu petang pula, ribut petir dan hujan dijangka di beberapa tempat di Perak. Selain itu, ribut petir dan hujan dijangka di beberapa tempat di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Di Sarawak, ia membabitkan Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang, manakala di Sabah membabitkan Sandakan, Pedalaman dan Tawau dan tempat lain dijangka tiada hujan,” katanya.

Pada waktu malam pula, katanya, ribut petir dan hujan dijangka di beberapa tempat di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Pahang, manakala di Sarawak membabitkan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong dan Kapit, serta Pedalaman di Sabah.

Sehubungan itu, orang ramai boleh merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi METMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca untuk maklumat lanjut.

Author

Pilihan Editor