HomeBeritaAdu rasuah, salah guna kuasa PRK Kuala Kubu Baharu di bilik gerakan...

Adu rasuah, salah guna kuasa PRK Kuala Kubu Baharu di bilik gerakan SPRM

ORANG ramai boleh menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu menerusi bilik gerakan dilancarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Sabtu.

SPRM menerusi kenyataan memaklumkan, bilik gerakan itu ditempatkan di SPRM Negeri Selangor yang terletak di Shah Alam dan beroperasi selama 24 jam mulai Sabtu sehingga 11 Mei depan.

“Selain itu, orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan rasuah dan salah guna kuasa melalui e-mel prk2024_sel@sprm.gov.my atau menghubungi talian 03-5528318 atau 03-55256500,” menurut kenyataan itu.

Selain bilik gerakan, orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan rasuah dan salah guna kuasa berkaitan PRK Kuala Kubu baharu menerusi e-mel dan talian tertera. – SPRM

SPRM turut mengingatkan semua calon dan parti politik yang bertanding agar tidak melakukan aktiviti yang melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya, selaras dengan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia).

PRK tersebut diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei manakala pengundian awal pada 7 Mei.

PRK Kuala Kubu Baharu merupakan PRK ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022.

SPR sebelum ini berkata, PRK kali ini akan menyaksikan jumlah pemilih seramai 40,226 orang yang terdiri daripada 39,362 orang pengundi biasa, 238 (tentera dan pasangan) serta 625 orang anggota polis termasuk seorang pengundi yang tidak hadir kerana berada di luar negara.

Author

Pilihan Editor