KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz enggan menceraikan isterinya, Bella Astillah, di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, pada Khamis.
Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 33, memaklumkan keputusan tersebut di hadapan Hakim Syarie Wan Mohd Najib Wan Hamat.
Anak kelahiran Singapura itu turut berkata, dia masih memerlukan masa untuk membuat keputusan dan masih sayangkan isterinya, Bella.
“Ini bukan satu keputusan yang boleh saya fikir dalam satu hari. Saya perlukan masa.
“Saya tidak bersetuju untuk bercerai. Saya perlukan masa,” katanya lapor MStar.
Susulan itu, Wan Mohd Najib mengarahkan pasangan itu untuk melalui proses Sulh dan melantik wakil bagi Jawatan Kuasa Pendamai (JKP).
Lantaran itu, Bella atau Dayang Nabellah Awang Astillah, 30, melantik kakak angkatnya sebagai wakil manakala Aliff menamakan ibunya iaitu Siti Hafiza Basharahil.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 4 Jun sebagai sebutan semula kes bagi pasangan berkenaan.
Pada 13 Mac lalu, Bella telah memfailkan permohonan cerai secara ekspres terhadap suaminya, Aliff susulan tangkapan khalwat Aliff bersama Ruhainies di sebuah kondominium di ibu kota pada 9 Mac 2024.
Sebagai rekod, Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016.
Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna yang masing-masing berusia 7 dan 4 tahun.