HEBOH di sosial media sejak Khamis apabila tular beberapa keping foto memaparkan barangan keperluan asas dibuang di tempat pembuangan sampah.
Menerusi perkongsian daripada seorang pengguna Facebook, puluhan kampit beras, tin sardin, bungkusan tepung, bihun dan serbuk minuman segera itu dipercayai dibuang di Jalan Pintasan Rumpun Makmur-Kampung Gunung Senyum, dekat Kuala Krau, Pahang.
Sehingga kini, tidak dapat dipastikan sama barangan tersebut masih elok dan selamat untuk digunakan.
Pada masa sama, terdapat foto bungkusan serbuk minuman segera itu yang memaparkan tarikh luputnya sehingga Mei 2025.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian netizen, yang rata-ratanya kecewa dengan pembaziran keperluan asas tersebut dan berpendapat bahawa ia sepatutnya boleh diagihkan kepada pihak lebih memerlukan.
Identiti individu yang tergamak melakukan perkara tersebut menjadi tanda tanya, malah ada segelintir netizen membuat andaian bahawa, perkara itu berkait rapat dengan sindiket penyeludupan beras putih tempatan (BPT) di pasaran.
“Yang jadi tanda tanya barang itu milik siapa? Kalau barang bantuan untuk orang susah kenapa tidak diagihkan sampai habis?” soal seorang pengguna media sosial.
Tambah seorang lagi netizen: “Mungkin ada kartel yang sorok beras dan barang bantuan. Geng ni simpan untuk jual atau tunggu peruntukan baharu daripada YB akan datang, tapi bagi barang yang disimpan ni. Nak untuk sekali barang rosak pula.”
“Cubaan hapus bukti sorok barangan terkawal.Kalau boleh cari resit kedai atau alamat boleh bantu KPDN siasat,” dakwa seorang netizen.
Lebih menyedihkan, pihak yang bertanggungjawab melakukan pembuangan itu tergamak membakar barangan tersebut, selepas mendapati aktiviti berkenaan menjadi bahan bualan.
Sementara itu, di ruangan komen, rata-rata warganet tidak menolak kemungkinan bahawa, stok berkenaan adalah bantuan buat mangsa banjir yang didapati sudah rosak.
“Barang bantuan banjir ni dulu gamoknya dak. Ada nak makan senyak-senyak, Tok peran rau la ni,” ujar seorang pengguna media sosial.
“Stok bantuan banjir rasanya ni, tapi kenapa tidak diagihkan?” soal seorang lagi netizen.
“Rosak sebab banjir atau sorok sampai luput?” tambah pengguna media sosial ketiga.
Namun, setakat artikel ini ditulis, masih belum ada pihak yang tampil membuat pengakuan mahu pun menafikan sebarang dakwaan berkenaan.