HomeBeritaBerbeza agama namun wanita ini tetap ziarah kubur bapa di hari raya

Berbeza agama namun wanita ini tetap ziarah kubur bapa di hari raya

BAK kata pepatah, air dicincang tidak akan putus, walaupun berbeza agama tidak menghalang seorang wanita untuk menziarahi kubur arwah ayahnya, Mohd Ja’afar Abdullah sempena sambutan perayaan Aidilfitri.

Menurut wanita yang dikenali sebagai Janaki itu berkata, banyak cabaran ditempuhi kerana sukar untuk menerima kenyataan tersebut.

Hal ini kerana arwah ayahnya memeluk Islam ketika dia masih remaja dan meninggal dunia pada 20 Januari 2019.

“Banyak cabaran kami masa itu sebab tidak dapat menerima kenyataan.

“Terlalu banyak pergaduhan dan air mata, tetapi lama-kelamaan kami sekeluarga reda,” kongsinya dalam satu video yang dimuat naik di media sosial.

Menurutnya, selepas bapanya memeluk Islam, arwah ayahnya sentiasa menunjukkan kehidupan sebagai seorang Muslim, namun masih berbangga dengan keturunan India.

Tambah Janaki, arwah ayahnya tidak pernah meninggalkan solat dan puasa, malah arwah tidak berdakwah dengan mereka sekeluarga.

“Cara itu membuatkan kami sekeluarga sangat menghormati ayah dan kehidupan baharunya.

“Selepas ayah meninggal dunia, saya bersama suami menguruskan pengebumian secara Islam dan bangga dapat memenuhi tanggungjawab sebagai anak,” jelasnya.

Dalam pada itu, Janaki turut memberitahu bahawa arwah ayahnya tidak pernah membandingkan agama masing-masing.

Katanya lagi, semasa hidup, arwah ayahnya sentiasa mencuba untuk memperbaiki hubungan keluarganya.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu saling menghormati kehidupan masing-masing walaupun berlainan bangsa.

“Selamat hari raya ayah dan selamat hari raya semua,” ucapnya ringkas lapor Sinar Harian.

Author

Pilihan Editor