HomeBeritaSingapura tarik balik produk Bak Ku Teh import dari Malaysia

Singapura tarik balik produk Bak Ku Teh import dari Malaysia

JOHOR BAHRU: Agensi Makanan Singapura (SFA) menggantung dan mengarahkan penarikan semula jualan satu lagi produk makanan dari Malaysia membabitkan bak kut teh segera dengan nasi.

SFA menerusi satu kenyataan di Facebook berkata, produk berkenaan membabitkan Samy Bak Kut Teh (Kering dan Sup) diimport dari sumber yang tidak diiktiraf dari Malaysia.

Susulan itu, SFA mengarahkan pengimport produk Bak Kut Teh segera itu untuk menarik semula penjualan produk berkenaan di pasaran republik itu.

“Produk ini mengandungi lebih daripada lima peratus daging babi. Daging dan produk daging yang mengandungi lebih daripada lima peratus daging hanya boleh diimport daripada sumber yang diiktiraf sahaja.

“Di Singapura, import produk makanan mesti mematuhi garis panduan ditetapkan SFA. Makanan hanya boleh diimport oleh pengimport berlesen, dan diisytiharkan secara jelas dan disertakan dengan permit import yang sah. 

“Apatah lagi jika produk itu membabitkan daging dan produk daging, ia hanya boleh diimport daripada sumber bertauliah di negara yang diluluskan sekali gus mematuhi piawaian dan keperluan keselamatan makanan kami,” kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut, SFA berkata, produk makanan yang diimport secara haram daripada sumber yang tidak diketahui dan tidak diluluskan menimbulkan risiko kepada pengguna. 

“Pengguna yang membeli produk bak kut teh segera itu diminta tidak memakannya, manakala mereka yang makan produk itu dan berasa tidak sihat, perlu mendapatkan rawatan perubatan segera,” katanya lapor Berita Harian.

Pada 12 April 2024, SFA dilaporkan menasihatkan pengguna supaya tidak membeli atau memakan sejenis gula-gula dari Malaysia yang didapati telah dicampur dengan tadalafil, ubat mujarab yang digunakan untuk merawat disfungsi erektil.

Author

Pilihan Editor